Friday, July 31, 2009

50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah IPTA diberi 100 unit AS 1Malaysia


KUALA LUMPUR: Seramai 50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendaftar pada sesi pertengahan tahun ini, akan diberi 100 unit Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) secara percuma.

Warga emas pula diberi peluang melanggan saham itu pada had maksimum 100,000 unit yang akan dibuka kepada langganan awam selama 30 hari bermula 5 Ogos.

Insentif itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis pelancaran Tabung AS 1Malaysia di sini, semalam.

Amanah saham itu yang lahir daripada visi gagasan pentadbiran Najib - 1Malaysia - adalah dana ekuiti harga tetap RM1 seunit dengan saiz berjumlah 10 bilion unit, yang terbesar ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Najib berkata, saham percuma untuk pelajar IPTA bernilai RM5 juta itu diberi sebagai insentif kepada golongan muda supaya menjadi warga negara berwawasan dan progresif serta bijak membuat keputusan dalam bidang pelaburan serta perancangan kewangan.

Beliau berkata, saham percuma itu disumbangkan PNB dan ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank dan Pos Malaysia Berhad.

Perdana Menteri berkata, perhatian istimewa kepada warga emas berusia lebih 55 tahun pula bertujuan menghargai sumbangan golongan itu dalam pembangunan ekonomi negara, selain memberi mereka peluang merancang keperluan persaraan.

"Apabila ambil alih pemerintahan, saya janjikan genap 100 hari pentadbiran saya akan lancarkan tabung dana khas, iaitu Tabung Amanah Saham 1Malaysia dan hari ini genap 120 hari pentadbiran saya... syukur Alhamdulillah janji itu dapat ditunaikan.

"Berdasarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, jika mahu melakukan sesuatu ia perlu dibuat secepat mungkin supaya manfaat dirasai rakyat dengan pantas.

"Malah, saya juga berhasrat mewujudkan lebih banyak titik sentuhan untuk mendekati rakyat dan Amanah Saham 1Malaysia adalah satu daripadanya," katanya.

Pada majlis itu, Najib diberi penghormatan sebagai penerima pertama buku pelaburan AS 1Malaysia.

Ahlan Wasahlan..selamat datang Ke Blog saya....